Saturday 9 May 2015

Tunggu dulu masuk jel


Mumbai: Hukuman penjara lima tahun terhadap bintang Bollywood Salman Khan kerana membunuh seorang lelaki gelandangan dalam kemalangan 13 tahun lalu digantung pelaksanaannya semalam sementara menunggu keputusan di mahkamah rayuan.
Pelakon berusia 49 tahun itu didapati bersalah di Mahkamah Seksyen kelmarin kerana menyebabkan kematian mangsa tanpa niat membunuh dan beberapa tuduhan lain selepas merempuh sekumpulan gelandangan yang tidur di tepi jalan di Mumbai pada September 2002.
Bagaimanapun, semalam peguam Salman membuat rayuan keputusan itu di Mahkamah Tinggi supaya sabitan itu digugurkan. Sehubungan itu, media melaporkan hukuman penjara terhadapnya ditangguhkan sehingga keputusan rayuan didengar di mahkamah.
Rabu lalu, Salman didapati bersalah atas semua tuduhan terhadapnya termasuk memandu di bawah pengaruh alkohol dan tanpa lesen.
Hakim D W Deshpande menolak dakwaan Salman bahawa pemandunya yang bertanggungjawab atas kemalangan itu dan mengarahkannya dipenjara lima tahun. Dia bagaimanapun dibenarkan jaminan sementara menunggu prosiding semalam.
Pada perbicaraannya, Salman mendakwa hanya minum air dan keluar melalui tempat pemandu selepas kemalangan itu kerana pintu di bahagian penumpang rosak.
Namun, saksi termasuk mangsa yang terselamat dalam kemalangan itu mengatakan dia memandu kenderaan berkenaan dengan laju lalu merempuh sekumpulan gelandangan yang sedang tidur di luar kedai roti pada September 2002.
Salman sudah membintangi lebih 100 filem dan rancangan televisyen selepas terkenal melalui filem 1980-an Maine Pyar Kiya.

No comments:

Post a Comment