Sunday 10 May 2015

Bomoh Palsu Warga China Dicekup Polis

KOTA KINABALU: Polis berjaya memberkas seorang bomoh palsu bersama dua ‘pelakon’ warganegara China setelah didapati terlibat aktiviti penipuan di sekitar pusat bandar baru-baru ini.

Bomoh Palsu Warga China

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Superintenden Saiman Kasran berkata, tangkapan dibuat selepas pihaknya menerima aduan dari orang awam berhubung kegiatan yang dijalankan tiga wanita terbabit.

Menurutnya, kesemua suspek yang berusia 43 hingga 45 tahun itu ditahan di sebuah rumah tidak bernombor berhampiran ibu negeri bersempena Ops Gagak yang dijalankan oleh JSJK Sabah.

“Menerusi serbuan berkenaan, kita merampas beberapa beg plastik hitam dan botol air yang dipercayai digunakan kumpulan itu menipu mangsa.

“Selain itu, wang tunai RM4,350 dan sejumlah wang asing juga berjaya dirampas dalam serbuan itu di mana dipercayai hasil daripada kegiatan haram berkenaan,” katanya.

Saiman berkata, modus operandi ketiga-tiga suspek difahamkan adalah dengan menyasarkan warga tua berbangsa Cina di pasar-pasar tamu atau tempat awam.

“Seorang daripada suspek kemudian bertindak menegur mangsa sambil bertanya di mana pusat perubatan tradisional kononnya kerana ingin membawa suaminya yang sakit tenat.

“Suspek tadi juga bertindak memegang tangan mangsa sambil menangis untuk meyakinkan lagi mangsa,” katanya.

Beliau menambah, ketika suspek pertama tadi memujuk mangsa, muncul pula suspek kedua yang berlakon sebagai orang awam lalu berpura-pura ingin menghulurkan pertolongan.

Suspek kedua tadi kemudian turut meyakinkan mangsa supaya pergi bersama, kononnya bagi mengelak sesuatu bencana berlaku terhadap keluarganya.

“Setibanya di sebuah rumah, seorang lagi suspek yang dipanggil bomoh melakukan penipuan seterusnya dengan mengarahkan mangsa membawa sejumlah barangan berharga daripada rumahnya menggunakan plastik hitam yang dibekalkan.

“Mangsa yang tertipu kemudian menurut kehendak suspek dengan membawa sejumlah barangan berharga kembali ke rumah suspek.

“Selepas itu, suspek membawa barangan itu ke sebuah bilik kononnya untuk tujuan sembahyang buang sial namun dia menukar barangan terbabit dengan botol air,” katanya.

Menyedari tertipu, Saiman berkata mangsa kemudiannya bertindak berbuat laporan polis di IPD Kota Kinabalu.

Ketiga-tiga suspek kini ditahan reman bagi siasatan lanjut mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

No comments:

Post a Comment