Saturday 9 May 2015

Bantu 200 wanita HIV

Kuala Lumpur: Individu yang dijangkiti virus HIV tidak boleh terus berputus asa serta sentiasa berdiri di atas kaki sendiri untuk terus hidup seperti insan normal lain.
Pegawai Latihan dan Sumber Manusia Rumah Solehah, Kampung Pandan, Fadzilah Abd Hamid berkata, selain itu mereka perlu bertaubat dan mendekatkan diri dengan Allah.
“Masyarakat terutama keluarga juga perlu menepis segala perspektif negatif dan memberi peluang kepada mereka untuk berubah sekali gus menempuh cabaran hidup baru,” katanya.
Menurut beliau, sejak mula beroperasi di bawah naungan Persatuan Perubatan Islam Malaysia (PPIM) pada 1998, lebih 200 individu mendaftar masuk di rumah penempatan sementara untuk wanita yang dijangkiti HIV berkenaan.
“Penghuni Rumah Solehah yang dihadkan seramai lima orang antaranya bekas penagih dadah, pelacur dan wanita terlanjur. Kebiasaannya, mereka dihantar oleh pihak hospital dan akan menjalani rawatan pemulihan selama enam bulan sebelum diserahkan kepada keluarga atau waris terdekat selain dikahwinkan dengan lelaki yang turut positif HIV.
“Kami menggunakan pendekatan antaranya berkaitan membina semangat selain menjaga kualiti hidup mereka sama ada fizikal, emosi atau mental dan pemantapan kerohanian. Selain itu, pembelajaran agama amat dititikberatkan dan kami menggalakkan mereka melakukan kerja rumah,” katanya.
Fadzilah berkata, Rumah Solehah itu dikelolakan oleh Exco terdiri daripada tiga pakar berkaitan iaitu Pakar Kanak-Kanak, Datuk Dr Musa Mohd Nordin dan Dr Kamarul Azhar Razali serta Pakar Kulit Dr Saadiah Sulaiman.
“Selain wanita dewasa, kami turut mempunyai rumah penempatan untuk kanak-kanak yang terletak di sekitar Ampang. Ia turut berada di bawah naungan PPIM yang kini dipengerusikan oleh Datuk Dr Rahim Mohamad,” katanya.

No comments:

Post a Comment