Sunday 3 May 2015

Kesan lebam, patah & jangkitan kuman pada otak bayi



Hasil bedah siasat mendapati terdapat beberapa kesan lebam dan patah pada badan bayi lelaki berusia lapan bulan yang meninggal dunia petang semalam (2 Mei) di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di Alor Setar.
    
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kedah ACP Mohd Nashir Ya berkata pakar forensik mendapati kesan lebam pada bahagian kepala, muka, lengan, kaki dan belakang badan.
    
Terdapat juga kesan patah pada tulang selangka kiri dan tulang lengan selain jangkitan kuman pada selaput otak dan otak bengkak, katanya dalam satu kenyataan di Alor Setar hari ini.
    
Beliau berkata kecederaan yang dialami bayi itu dipercayai akibat kontek dengan benda tumpul sama ada disebabkan hentakan kecil atau terjatuh dan punca kematian masih disiasat.
    
Mohd Nashir berkata kedua-dua suspek, wanita berumur 30 tahun, dan lelaki, 40, yang juga ibu bapa angkat kepada bayi tersebut, direman bermula hari ini hingga 9 Mei bagi membantu siasatan.
    
Mereka tinggal di Taman Rasa Sayang, Jitra.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
    
Dalam kejadian 12.10 tengah malam pada Jumaat (1 Mei) Jabatan Kecemasan Hospital Jitra menerima masuk seorang bayi berusia lapan bulan yang tidak sedarkan diri sebelum dipindahkan ke HSB pada 11.55 pagi semalam (2 Mei).
    
Bayi tersebut kemudian disahkan meninggal dunia pada pukul 4.04 petang.
    
-Bernama

No comments:

Post a Comment