Monday 4 May 2015

Guna tangkal pecah rumah

rompak samun pecah rumah

KOTA TINGGI - Tindakan seorang lelaki warga negara Indonesia yang menggunakan tangkal untuk memukau mangsa ketika melakukan jenayah pecah rumah di sekitar kawasan Kota Tinggi akhirnya terbongkar selepas suspek berjaya ditahan dalam satu serbuan pada 30 April lalu.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Rahmat Othman berkata, bertindak atas maklumat kes pecah rumah, sepasukan anggota Cawangan Pencegahan Jenayah (CPJ) Balai Polis Kota Tinggi yang diketuai Ketua Balainya, Inspektor Azri Yaacob, bergegas ke Ladang Foh Chong dekat Taman Saujana untuk mengesan suspek.

Menurutnya, ketika sampai di ladang tersebut pasukan serbuan telah menemui seorang lelaki warga Indonesia berada dalam keadaan mencurigakan.

“Anggota kita telah menahan lelaki terbabit setelah berlaku satu pergelutan.  

“Hasil pemeriksaan lanjut anggota kita telah merampas beberapa jenis tangkal yang dipercayai digunakan suspek untuk jenayah pecah rumah.

“Suspek yang berusia 27 tahun juga didapati tidak memiliki dokumen yang sah tinggal di Malaysia,” katanya.

Tambahnya, siasatan lanjut masih dijalankan dan kes disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan.

No comments:

Post a Comment