Friday 19 June 2015

9 ditembak di gereja


Charlestone: Seorang lelaki bersenjata menembak mati sembilan orang di sebuah gereja bersejarah Afrika-Amerika di Charleston, Carolina Selatan, semalam.
Suspek yang menurut polis lelaki kulit putih berusia 21 tahun, memakai baju senaman, jeans dan but masih diburu beberapa jam selepas kejadian malam itu.
Sehingga malam tadi (waktu Malaysia) bandar Charlestone masih dikepung oleh polis yang berusaha menjejaki pembunuh terbabit.
Lelaki itu dikatakan memasuki gereja itu, duduk dengan tenang sebelum berdiri dan melepaskan tembakan.
Bercakap kepada wartawan di sidang media di luar gereja itu, Ketua Polis Charlestone Gregory Mullen berkata, mayat lapan mangsa ditemui dalam gereja berkenaan.
Menurutnya, seorang mangsa mati ketika dibawa ke hospital dan seorang lagi yang cedera masih dirawat.
Polis sehingga malam tadi tidak menamakan mangsa berkenaan.
Bagaimanapun, pemimpin hak asasi manusia yang berpejabat di New York Reverend Al Sharpton berkata, antara yang terbunuh ialah pastor gereja dan seorang Senator.
Kejadian berlaku di Gereja Emanuel AME di Charlestone kira-kira jam 9 malam (9 pagi waktu Malaysia), menurut jurucakap Jabatan Polis Charlestone Charles Francis.
Sementara itu, seorang wanita yang terselamat berkata, dia melarikan diri selepas penyerang itu membenarkan dia berbuat demikian supaya dia boleh menceritakan mengenai kejadian itu kepada dunia.
Dalam pada itu, seorang kanak-kanak perempuan berusia lima tahun juga terselamat selepas dia disuruh berpura-pura mati oleh neneknya.
Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 Jun 2015 @ 11:39 AM

No comments:

Post a Comment